Hari-Hari Hari Ibu

“Ibu, engkaulah ratu hatiku” adalah satu ungkapan yang biasa kita dengar pada Hari Ibu. Di kebanyakan negara Hari Ibu disambut pada hari Ahad, minggu kedua dalam bulan Mei setiap tahun. Tujuan Hari Ibu diadakan adalah untuk menghargai segala pengorbanan seorang ibu.

Secara simboliknya, Hari Ibu disambut dengan pemberian hadiah kepada para ibu sebagai tanda kasih sayang seorang anak terhadap ibunya. Akan tetapi, adakah kasih sayang seorang anak terhadap ibunya hanya terhad pada Hari Ibu sahaja? Adakah kita cuma menghargai pengorbanan ibu kita hanya pada Hari Ibu sahaja?

Latar belakang Hari Ibu

Berabad lama dulu, masyarakat Greece merayakan Hari Ibu pada musim bunga sebagai tanda penghormatan mereka terhadap ‘Rhea’, ibu kepada tuhan mereka.

Kepercayaan Masyarakat England

Pada tahun 1600, masyarakat England merayakan satu perayaan yang dinamakan sebagai “Mothering Sunday”. Ia dirayakan pada hari Ahad keempat setiap Lent. Lent adalah tempoh masa selama 40 hari samada dalam bulan Februari atau Mac. Sepanjang tempoh Lent, sebahagian orang Kristian akan berhenti melakukan atau memakan makanan tertentu atas alasan agama sebagai tanda penghormatan mereka terhadap Mother Mary. Mother Mary adalah Maryam, ibu kepada Nabi Isa AS atau Jesus yang mereka anggap sebagai tuhan mereka.

Sejarah Hari Ibu di Amerika

Dewasa ini, perayaan sekali setahun ini telah berevolusi menjadi satu perayaan yang meraikan para ibu di seluruh dunia. Julia Ward Howe, seorang aktivitis sosial yang mengilhamkan sebuah puisi, “The Battle Hymn of The Republic” sempena Hari Ibu pada awal 1872 di Amerika Syarikat. Kemudiannya, puisi itu telah menjadi lagu patriotik yang popular dalam kalangan warga Amerika. Beliau menjadikan 8 Mac sebagai Hari Ibu untuk menghargai kaum ibu yang telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan prestasi dunia.

Seorang lagi pengasas Hari Ibu, Anna Jarvis telah mengasaskan Hari Ibu selepas dua tahun kematian ibunya di Philadelphia. Beliau telah melancarkan kempen Hari Ibu dan berjaya mempengaruhi Mother’s Church di Grafton, West Virginia agar meraikan Hari Ibu. Sejak itu, Hari Ibu diraikan pada setiap hari Ahad kedua dalam bulan Mei. Pada tahun 1911, hampir seluruh rakyat Amerika menyambut Hari Ibu apabila Anna Jarvis dan penyokongnya telah menulis surat kepada presiden mencadangkan agar Hari Ibu disambut dengan meluas.

Persoalannya, adakah kita patut menghargai ibu hanya untuk satu hari sahaja? Adakah kita sebagai seorang anak perlu menyayangi ibu hanya untuk satu hari sahaja? Jawapannya, tidak. Sebagai seorang anak, kita perlu menyayangi dan menghargai ibu kita setiap masa. Kita diwajibkan untuk berbuat baik dan menggembirakan hati ibu kita. Malah, dalam apa-apa agama pun menuntut untuk kita menyayangi dan menghormati ibu kita.

Akhir kata, Hari Ibu sepatutnya disambut pada setiap hari, tidak kira masa dan waktu. Dengan erti kata lain, kita sebagai anak, kita perlu menghormati dan menyayangi ibu kita setiap waktu, dan tidak terhad pada hari Ahad minggu kedua bulan Mei sahaja.

Like this article?

Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Linkdin
Share on Pinterest