Hari ini genap 23 hari umat Islam di Malaysia menjalani ibadah berpuasa. Lagu raya sudah rancak kedengaran berkumandang di corong radio. Pada saat ini, ramai yang sedang sibuk untuk membuat persiapan Hari Raya yang bakal menjelma.
Sedar tak sedar lebih kurang seminggu lagi bulan Ramadan bakal pergi meninggalkan kita. Di samping itu, kita sudah pun masuk 10 malam terakhir Ramadan. Pada ketika ini, sesetengah umat Islam sedang usaha melipatgandakan amalan ibadah agar mereka dapat diketemukan malam yang penuh istimewa, iaitu Malam Lailatulqadr. Alangkah beruntungnya mereka yang dapat bertemu malam yang lebih baik dari seribu bulan.
“Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sehingga terbit fajar.”
(Surah al-Qadr: 4-5)
Malam yang lebih baik daripada 1000 bulan yang bersamaan 83 tahun menjadikan Malam Lailatulqadr sungguh istimewa. Ia membawa maksud sesiapa sahaja yang beribadah pada malam tersebut, mereka akan memiliki pahala selama 1000 bulan atau 83 tahun.
Amalan Pada 10 Malam Terakhir
- Menghidupkan malam dengan mengerjakan ibadah solat serta membaca Al-Quran.
- Beriktikaf di dalam masjid dengan melakukan perbuatan yang mendekatkan diri kepada Allah seperti solat, zikir, membaca Al-Quran.
- Berdoa kepada Allah dengan meminta keampunan-Nya.
- Bersedekah dengan keikhlasan kepada Allah.
Amalan Yang Boleh Dilakukan Oleh Wanita Sedang Haid
Begitu banyak fadhilat dan ganjaran bagi mereka memperolehi Malam Lailatulqadr ini. Dalam pada itu, ada yang berasa sedih terutamanya kaum Hawa yang datang bulan atau haid di saat akhir Ramadan. Namun, terdapat beberapa amalan yang boleh dilakukan untuk wanita haid dalam mengejar Malam Lailatulqadr. Antaranya ialah:
- Menyediakan makanan berbuka untuk orang yang berpuasa.
- Menyediakan makanan sahur disamping menghidupkan waktu sahur dengan qiyamullail seperti zikir, istigfar dan doa.
- Menjauhi larangan agama.
- Banyakkan berdoa dan berzikir kerana sepanjang Ramadan; lebih-lebih lagi ketika waktu berbuka, waktu bersahur dan 1/3 malam adalah waktu mustajab doa.
- Menyibukkan diri menuntut ilmu seperti mendengar ceramah agama, membaca tafsir Al-Quran dan sebagainya.
- Banyakkan bersedekah dan menderma.
- Digalakkan supaya mengejutkan ahli keluarga untuk menghidupkan malam dengan amal ibadah.
Kesimpulannya, kita masih boleh mencari Malam Lailatulqadr walaupun dalam keadaan uzur. Selain solat dan membaca Al-Quran, wanita haid masih lagi boleh berdoa dan berzikir pada 10 malam terakhir Ramadan. Marilah kita tingkatkan lagi amalan ibadah pada 10 malam terakhir Ramadan ini. Semoga kita semua dapat dipertemukan malam istimewa yang dipanggil Malam Lailatulqadr.